• Jenis Tulisan
  • increase normal decrease    
  • black red green blue    
  • green blue purple
  • en  English
Selamat Datang, AWAM    |    Daftar    |    Log Masuk     |     Panduan Pantas
Utama > Artikel > Pemantapan Perkahwinan > Tanggungjawab Membentuk Keluarga Harmoni

Tanggungjawab Membentuk Keluarga Harmoni

 224 kongsi |  65921 lihat

Foto kredit: Facebook Dr. Mohd Ghazali Abdul Ghaib
 
Setiap agama mementingkan keharmonian dalam kehidupan manusia sejagat. Begitu juga dalam Islam, dimana telah cantik disusun oleh Yang Maha Berkuasa panduan hidup yang lengkap dan rapi pada segala perkara berkaitan dengan kehidupan manusia iaitu melalui panduan Al-Quran dan Hadith Nabi Muhammad s. a. w. Antara aturan ilmu yang ada dalam kalam suci Allah dan panduan hidup Nabi Muhammad S.A.W adalah berkait rapat dengan cara membentuk keluarga harmoni dan sejahtera untuk seluruh umat manusia di muka bumi ini.

Keamanan, keadilan, kesefahaman, sikap toleransi, kasih sayang dan kesejahteraan yang wujud dalam sesebuah keluarga adalah faktor utama dalam mewujudkan sebuah keluarga yang Harmoni, Bahagia dan Cemerlang di dunia dan di akhirat.
 
MEWUJUDKAN KELUARGA HARMONI

Pembentukan keluarga harmoni dan sejahtera memerlukan satu rasa tanggungjawab yang begitu berat, dimana ia perlu dipikul oleh ibubapa yang mana ia merupakan satu amanah yang wajib dilaksanakan dengan sempurna oleh kedua-dua ibubapa dalam melahirkan generasi yang bakal menjadi pelaburan pada masa depan di dunia dan akhirat. Bagi menjadikan harapan ini sebagai suatu kenyataan, setiap anggota keluarga harus tahu melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka dan mempelajari ilmu kekeluargaan sama ada melalui pembacaan atau melalui pengalaman orang yang boleh dicontohi. Dalam mendidik keluarga, setiap individu terutama ibu dan bapa perlu ditanamkan dengan perasaan kasih sayang dan kasih mengasihani  antara satu sama lain. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Rum , ayat 21 yang bermaksud”

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup bahagia dengannya dan dijadikan antara kamu(suami isteri) perasaan kasih sayang (Al-Mawaddah) dan belas kasihan (Al-Rahmah). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang menimbulkan (kesedaran) bagi orang yang berfikir.”

RUMAHTANGGA YANG HARMONI

Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab suami dan isteri untuk mendukung dan menghayati konsep berkasih sayang dan kasih mengasihani antara satu sama lain. Antara amalan yang boleh dilaksanakan adalah bertakwa, bekerjasama, hormat menghormati, bersyukur, redha dengan ketentuan Allah dan sebagainya. Amalan-amalan ini merupakan antara jambatan atau laluan yang mendekatkan diri kita kepada kehidupan keluarga harmoni .
 
Untuk membentuk keluarga harmoni dan cemerlang semuanya perlulah bermula dari pembentukan asas rumahtangga. Dalil Hatith Nabi Muhammad mengenai 4 kunci kebahagiaan dalam rumah tangga.
 
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”:Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa.!” Riwayat Ibnu Hibban
 
Huraian Hadith : 
 
Kehidupan yang selesa adalah suatu bentuk kehidupan yang dialu-alukan oleh Islam di mana kehidupan yang sempurna memerlukan empat elemen asas yang penting iaitu:

Wanita yang solehah - iaitu isteri yang baik yang dapat menguruskan keluarga dan rumahtangga dengan sempurna.

Rumah yang luas yang boleh memberikan keselesaan untuk bermesra  dengan keluarga dan anak-anak di samping dapat melapangkan fikiran dengan baik dan tenang.

Jiran yang baik kerana jiran merupakan orang yang paling rapat selepas sanak saudara dan keluarga. Jiran yang baik dapat menjamin keharmonian hidup bermasyarakat sehinggakan ikatan kejiranan itu boleh bertukar seakan-akan sebuah keluarga yang kasih-mengasihi dan saling mengambil berat di antara satu sama lain.

Kenderaan yang selesa kerana ia memberikan kemudahan dalam segala urusan.

TANGGUNGJAWAB MEMBENTUK RUMAHTANGGA YANG HARMONI
 
Tanggungjawab membentuk sesebuah keluarga merupakan tanggungjawab bersama. Ini dapat di buktikan melalui Hadith Nabi Muhammad s.a.w

“Setiap kamu adalah pemimpin & setiap pemimpin bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang penguasa adalah pemimpin rakyat & ia bertanggungjawab atas rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin keluarganya & ia bertanggungjawab atas keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga suaminya dan anak-anaknya & ia bertanggungjawab atas mereka. Dan seorang hamba adalah pemimpin harta benda milik tuannya & ia bertanggungjawab atas keselamatannya”..... Riwayat Bukhari & Muslim
 
Tanggungjawab dalam membentuk rumahtangga yang diingini bergantung kepada usaha, kerjasama dan kemahuan antara pasangan suami isteri. Kesepakatan, kejujuran, keikhlasan, hormat menghormati, sayang menyayangi, bertoleransi, berlaku adil, menerima seadanya diri pasangan dan bersyukur dengan ketetapan Allah merupakan antara prinsip yang harus diamalkan oleh suami isteri dalam membentuk rumahtangga yang harmoni.

RAHSIA MEMBENTUK KELUARGA HARMONI

1.  Mencari sumber pendapatan yang halal dan diredhai Allah
  • Cara pencarian rezeki juga boleh memberi kesan kepada keadaan keharmonian rumah tangga.
 
2. Rajin menimba ilmu pengetahuan dalam segala perkara
  • Ilmu kekeluargaan dan kehidupan perlu dicari bagi menjadi panduan dan rujukan kehidupan berkeluarga.

3.  Amalkan berkasih sayang dan kasih mengasihani
  • Kasih sayang perlu ditonjolkan kerana ia merupakan pemangkin semangat bagi setiap ahli keluarga.

4. Berkomunikasi lah secara positif selalu – No Nagging
  •  Berkomunikasilah secara positif dengan isteri, suami & anak-anak dan elakkan dari kata/pemikiran negatif

5.  Amalkan amalan kerohanian bersama ahli keluarga
  • Selalulah berdoa dan lakukan amalan yang baik bersama-sama. Dekatkan diri pada yang – Esa.

6. Kejujuran, keikhlasan dan kepercayaan dalam diri setiap pasangan
  • Hubungan yang dikuatkan dengan rasa percaya,jujur dan ikhlas akan memberi kesan yang dalam kepada pasangan.

7.  Membentuk suasana yang mesra keluarga
  • Suasana persekitaran yang baik, selamat dan selesa memberi kesan kepada perhubungan keluarga.
 
8. Memainkan peranan dan tanggungjawab
  •  Kenalpasti tanggungjawab dan peranan yang boleh dilaksanakan bersama.
 
9. Bersama membuat keputusan 
  • Setiap keputusan boleh dibuat bersama dan ianya perlulah adil, terbuka dan fleksibel untuk digunakan oleh seluruh ahli keluarga.
 
10. Mengelakkan konflik belarutan dan segerakan penyelesaian sesuatu isu bersama.
  • Setiap permasalahan ada penyelesaiannya. Berbincang secara tenang dan elakkan suasana beremosi ketika berbincang. Dan selalu berdoa untuk redha suami dan redha isteri dalam menyelesaikan konflik secara berhemah.

Kesimpulan yang dapat dinyatakan disini adalah penentu aras keharmonian sesebuah keluarga bukan semata mata kerana pangkat, harta, darjat dan kebendaan. Namun penentu sesebuah kebahagian keluarga adalah berpandukan kepada niat kita kepada Allah untuk menjadikan keluarga yang dimiliki ini sebagai  perlaburan masa depan di dunia dan akhirat serta mengakui kehidupan, keluarga, anak anak dan pasangan masing masing sebagai pinjaman Allah kepada kita. Keharmonian yang dicari oleh setiap keluarga adalah berbeza namun ianya perlulah dipupuk dari asas agama dan asas kehidupan melalui ilmu kehidupan dan ilmu kekeluargaan.
 


Penilaian bacaan
 5
32.37%
 4
15.11%
 3
16.55%
 2
10.79%
 1
25.18%