• Jenis Tulisan
  • increase normal decrease    
  • black red green blue    
  • green blue purple
  • en  English
Selamat Datang, AWAM    |    Daftar    |    Log Masuk     |     Panduan Pantas
Utama > Artikel > Pemantapan Perkahwinan > Rumahtangga Gajet

Rumahtangga Gajet

 7 kongsi |  3462 lihat

Foto kredit: https://www.freepik.com

“Puan, apabila berada di rumah, suami saya sering bersama telefon pintarnya. Suami saya terlalu taksub dengan group yang terdapat dalam aplikasi whatsapp sehingga seolah-olah tidak mempedulikan saya dan anak-anak”, demikian keluhan hati seorang isteri.
 
Seringkali kita lihat senario pada masa kini apabila berada di meja makan di sebuah restoran, sebuah keluarga yang keluar bersama-sama tetapi semuanya senyap dan leka dengan telefon pintar masing-masing. Ya, mereka sememangnya meluangkan masa bersama untuk keluar makan bersama akan tetapi bukan “meluangkan masa” dalam erti kata yang sebenar. Tidak kurang juga yang berada dirumah tetapi masing-masing hanya menghantar mesej melalui telefon pintar kepada ahli keluarga untuk berhubung.
 
Kalau dulu isu gajet ini sering kita dengar berlaku pada anak remaja, tetapi kini, tanpa mengira faktor usia, sesiapapun seolah-olah wajib memiliki telefon pintar ini agar tidak ketinggalan apa jua bentuk berita dan perkembangan isu semasa. Banyak manfaatnya, namun banyak juga kelemahannya terutama bagi sesebuah institusi perkahwinan dan kekeluargaan.
 
Kajian mendapati kewujudan media sosial seperti Facebook dan Twitter memberikan kesan kepada peningkatan masalah sosial dalam institusi keluarga khususnya kes perceraian dan pertikaian antara suami isteri.
 
Mengapakah perkara-perkara seperti ini terjadi? Malah kini kian meningkat.

Isu sebegini timbul akibat daripada kurangnya komunikasi berkesan antara ahli keluarga kerana terlampau leka dengan gajet masing-masing. Pasangan suami isteri masing-masing sibuk melayan group masing-masing dalam aplikasi whatsapp, anak-anak sibuk bermain permainan online, malah mungkin ada yang cuba mengambil kesempatan untuk mencari ‘teman baru’ untuk menghilangkan rasa sunyi dan apabila tertangkap oleh pasangan, maka bermulalah episod ‘perang dingin’ dalam perkahwinan mereka. Hal ini jika dibiarkan berterusan, boleh mengakibatkan barah dalam perkahwinan dan akhirnya bahtera yang dikemudi tenggelam ditengah lautan.
 
Komunikasi terbahagi kepada dua iaitu komunikasi lisan dan bukan lisan. Komunikasi lisan adalah komunikasi yang melibatkan percakapan atau perbualan dan penulisan yang bertujuan untuk menyampaikan mesej kepada seseorang.  Komunikasi bukan lisan pula melibatkan bahasa badan seperti postur tubuh, mimik muka, pergerakan tangan dan kepala bagi maksud menyampaikan sesuatu mesej.
 
Komunikasi yang berkesan adalah komunikasi yang berlaku proses penyampaian maklumat kepada seseorang dan maklumat yang disampaikan hendaklah difahami oleh penerima maklumat.
 
Dalam pekahwinan memerlukan komunikasi yang berkesan. Akan tetapi apabila terdapatnya halangan komunikasi yang pelbagai dan tidak ditangani dengan baik, perkara ini boleh menimbulkan perasaan unfinished business kepada pasangan. Antara halangan komunikasi yang dominan kini adalah taksub dengan gajet. Sebagaimana kes yang saya sebutkan pada awal tadi, si isteri ingin meluahkan sesuatu kepada suami, akan tetapi, si suami pula sibuk dengan gajet sehingga tidak dapat memandang wajah isteri apabila bercakap, dan membuat seperti endah tak endah dengan percakapan isteri akan memberikan kesan kepada si isteri yang lama kelamaan ‘perang dingin’ yang saya maksudkan tadi. Oleh itu, saya ingin berkongsi teknik-teknik komunikasi yang berkesan kepada pembaca agar dapat dimanfaatkan bersama-sama.
 
Tips yang pertama, mendengar dengan aktif. Mendengar dengan aktif bermaksud bukan cuma mendengar dengan telinga, akan tetapi memberikan sepenuh tumpuan sama ada secara mental dan juga fizikal kepada pasangan, iaitu memandang wajah pasangan ketika bercakap dan melakukan eye contact ketika bercakap atau ketika pasangan berkongsi sesuatu.
 
Tips yang kedua adalah melakukan dorongan minima ketika pasangan bercakap. Dorongan minima bermaksud memberikan respon yang minima kepada pasangan yang sedang bercakap bagi menggalakkan pasangan untuk berkongsi. Contohnya seperti berkata “emm…”, “ehem,” dan “owhh…” agar pasangan tidak berasa seperti bercakap seorang diri dan tidak didengari.
 
Tips yang ketiga adalah duduk dalam keadaan condong ke hadapan sedikit. Duduk dalam postur sebegini juga amat penting untuk dilakukan ketika pasangan sedang berkomunikasi. Hal ini menunjukkan kita sedang memberikan perhatian dan berminat dengan perkongsian pasangan. Oleh yang demikian, pasangan akan berasa dihargai oleh kita kerana memberikan perhatian kepadanya.
 
Tips yang keempat adalah bertanya soalan jika perlu iaitu mengajukan soalan kepada pasangan jika perlukan huraian bagi perkara yang tidak difahami. Tetapi perlu diingatkan untuk tidak memberikan soalan yang bertubi-tubi kepada pasangan ketika sedang berkomunikasi kerana ini akan menimbulkan perasaan seolah-olah dicurigai dan tidak dipercayai. Member soalan yang terlampau banyak juga boleh membuatkan proses komunikasi seperti proses soal siasat pihak polis kepada penjenayah.
 
Tips yang kelima adalah berempati kepada pasangan sekiranya apa yang dikongsikan pasangan adalah sesuatu yang membuatkannya beremosi sama ada gembira, sedih dan marah. Berempati bermaksud “put yourself in his/her shoes” iaitu menunjukkan bahawa kita amat memahami situasi pasangan seolah-olah kita turut berada dalam situasi tersebut. Hal ini boleh membantu pasangan untuk rasa difahami dan sekaligus mampu membantu pasangan untuk berasa lega di atas perkongsian tersebut.
 
Gajet boleh, tetapi bukanlah taksub dengannya sehingga seolah-olah gajetlah pasangan hidup anda. Ingatlah para suami dan isteri, anda punya tanggungjawab masing-masing untuk membahagiakan pasangan. Jagalah setiap perlakuan agar bahtera yang di kemudi berjaya berlabuh ke pelabuhan yang diimpikan.  Semoga perkongsian ini dapat dimanfaatkan oleh para suami dan isteri di luar sana bagi menjamin keharmonian dan kebahagian rumahtangga yang berkekalan hingga ke syurga.


Penilaian bacaan
 5
0.00%
 4
0.00%
 3
0.00%
 2
100.00%
 1
0.00%