Jangan Berhenti Separuh Jalan
0 kongsi | 1386 lihat
Foto kredit: https://www.freepik.com
Apa yang membuatkan seseorang itu berjaya dalam pekerjaannya? Minat dan kesungguhan sahaja tidak cukup untuk mencapai kejayaan. Ada perkara yang lebih penting yang mungkin selama ini kita tidak ambil peduli. Cuba teliti kembali satu persatu di mana silapnya kita apabila kita masih di takuk lama sedangkan orang sekeliling sudah jauh maju ke hadapan.
Matlamat & Cita-Cita Biarlah Realistik
Tanamkan dalam diri apa matlamat hidup anda. Tetapi ingat, ia bukan sekadar matlamat anda perlu menetapkan apa yang anda ingin capai biarlah realistik. Jangan berangan-angan untuk mencapainya dalam masa yang singkat atau mengharapkan keajaiban. Matlamat adalah penting kerana ia memberikan rasa keinginan yang jitu untuk dicapai. Apabila anda sudah menetapkan apa yang ingin dicapai, buat perancangan untuk mencapainya. Anda perlukan satu perancangan yang menyeluruh. Dalam hidup kita tentu ada banyak matlamat yang hendak dicapai. Fikirkan satu matlamat yang penting sebagai pengakhiran hidup kita yang singkat ini.
Langkah Demi Langkah
Cara terbaik untuk mencapai sesuatu ialah dengan melakukannya langkah demi langkah. Tidak ada orang yang mencapai kejayaan dengan sekali percubaan atau dalam masa yang singkat. Banyak jatuh dan bangun sebelum kita benar-benar berjaya dan banyak cabarannya di sepanjang perjalanan.
Tetapkan Fokus Anda
Jika impian menjadi pembakar semangat, tumpukan agar semangat itu terus membara, tidak padam di pertengahan jalan. Tumpukan pada satu perkara dan jangan lakukan terlalu banyak perkara dalam satu masa untuk mencapai impian anda. Belajar untuk membuat pilihan tepat dan apakah sasaran yang paling penting, kemudian fokuskan segala tenaga dan usaha untuk mencapainya.