Bijak Berbelanja, Hati Bahagia
16 kongsi | 3673 lihat
Foto kredit: https://www.freepik.com
Sumber diperolehi daripada : Berita Harian, 8 Jun 2013
Kawal perbelanjaan bulanan, pastikan buat simpanan tunai di bank
Kita mempunyai pendapatan yang agak baik. Beban tanggungan juga tidak besar. Mungkin sekadar membayar ansuran bulanan kereta dan rumah. Kos perbelanjaan pendidikan anak-anak juga ditanggung bersama isteri.
Ini bermakna, kita sebenarnya masih mampunyai lebihan tunai pada setiap bulan untuk dijadikan simpanan. Bagaimanapun, entah kenapa ia masih tidak cukup. Setiap pertengahan bulan hingga hujung bulan, kita sudah mula mengeluh atau termenung macam mana wang tunai kita boleh berkurangan dengan ketara sekali.
Kita mungkin tertanya-tanya, orang lain yang mempunyai pendapatan dan tanggungan hampir sama dengan kita, tetapi masih dapat membuat simpanan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji bulanan.
“Kenapa dia boleh buat simpanan, aku pula tak boleh? Apa yang aku berbelanjakan?” itulah persoalan yang bersarang dalam hati kita.
Mungkin kita berasakan sangat remeh untuk memikirkan apa bagaimana wang dibelanjakan. Ditambah pula dengan perasaan: “Duit aku, ikut suka aku apa nak belanja.” Malahan ada yang berasakan semua benda dianggap penting dan mesti dibeli, tanpa perlu bertangguh atau tidak langsung berfikir panjang.
Jadi, apa kata kita memikirkan pengurusan wang tunai dengan serius. Ini penting untuk kebaikan kita. Ketepikan sifat ego atau berlagak tak tentu fasal dalam pengurusan wang tunai ini. Apa gunanya kita berpuluh tahun kerja dengan pendapatan yang agak besar tetapi masih tidak ada simpanan langsung dalam bank, Tabung Haji atau Amanah Saham. Kalau ada pun simpanan, jumlahnya terlalu sedikit, tidak konsisten atau tiada disiplin.
Apa itu pengurusan tunai?
Pengurusan aliran tunai ialah proses memantau, menganalisis serta menyelaraskan aliran tunai peribadi kita. Aliran tunai ini pula mengandungi dua komponen utama; pendapatan (aliran masuk) dan perbelanjaan (aliran keluar)
- Pendapatan aktif
- Ia adalah hasil daripada pekerjaan (gaji) atau hasil usaha perniagaan kita. Sebaik sahaja kita berhenti bekerja atau berniaga, pendapatan aktif kita akan turut terhenti.
- Contoh pendapatan aktif termasuk gaji dan hasil keuntungan perniagaan.
- Pendapatan pasif
- Diperolehi daripada simpanan atau pelaburan. Pendapatan pasif tidak mengambil kira status pekerjaan kita. Contoh pendapatan pasif termasuk faedah atau keuntungan sewa, dividen dan royalti.
Corak perbelanjaan
Aliran keluar tunai pula terdiri daripada perbelanjaan tetap, perbelanjaan berubah-ubah dan budi bicara.
- Perbelanjaan tetap
- Perbelanjaan yang tidak berubah. Ia biasanya adalah perbelanjaan keperluan hidup dengan jumlah yang sama dibelanjakan setiap bulan. Contoh perbelanjaan tetap ialah bayaran ansuran bulanan pinjaman rumah, kereta, sewa rumah, premium insurans dan upah bayaran pengasuh anak kita.
- Perbelanjaan berubah-ubah
- Perbelanjaan yang jumlahnya tidak tetap. Ia berubah-ubah, lazimnya adalah untuk perbelanjaan keperluan hidup. Contoh perbelanjaan ini, termasuk makanan, pakaian, bil utiliti dan barangan keperluan rumah yang penting
- Perbelanjaan budi bicara
- Perbelanjaan mengikut budi bicara kita. Sebahagian besar perbelanjaan budi bicara bukanlah untuk keperluan hidup tetapi sesuatu yang boleh memberi keseronokan kepada kita. Contoh, apabila kita makan luar bersama keluarga, membeli pakaian mahal atau berjenama, melanggan TV satelit, hiburan dan barangan keperluan rumah yang tidak penting.
Pastikan sentiasa ada lebihan tunai
Dengan memahami aliran masuk dan keluar tunai, marilah kita mempelajari cara menggunakan penyata aliran tunai. Penyata aliran tunai menunjukkan semua pendapatan dan perbelanjaan dalam tempoh tertentu. Penyata aliran tunai adalah alat asas untuk menyemak tahap kesihatan kewangan dan menilai kedudukan kewangan kita.
Pengurusan aliran tunai yang baik akan memastikan kita selalu mempunyai pendapatan yang cukup untuk membayar semua perbelanjaan kita. Ia juga akan menempatkan diri di tahap kedudukan kewangan yang selesa.
Kalau pendapatan kita lebih daripada perbelanjaan, bermakna kedudukan wang tunai kita berada pada tahap positif. Tapi kalau perbelanjaan melebihi pendapatan, keadaan ini dianggap negatif atau defisit.
Jumlah Wang Masuk > Jumlah Wang Keluar = Lebihan Tunai (Syabas! Teruskan usaha anda)
Jumlah Wang Keluar > Jumlah Wang Masuk = Defisit Tunai (Kaji semula corak perbelanjaan anda)
Kalau kita membelanjakan semua pendapatan, ini tidak bermakna kedudukan wang tunai kita adalah baik. Ia sebenarnya membuatkan kita tidak mempunyai sebarang simpanan untuk tujuan kecemasan. Bayangkan, apakah akan terjadi kepada kedudukan wang tunai kita kalau kita diberhentikan kerja atau tidak berupaya bekerja lagi?