• Jenis Tulisan
  • increase normal decrease    
  • black red green blue    
  • green blue purple
  • en  English
Selamat Datang, AWAM    |    Daftar    |    Log Masuk     |     Panduan Pantas
Utama > Artikel > Pra Perkahwinan > Membaja Benih Cinta

Membaja Benih Cinta

 1 kongsi |  2030 lihat

Foto kredit: https://www.pexels.com

Setiap manusia mengimpikan sebuah perkahwinan yang bahagia dan saling melengkapi. Tiada siapa yang mahukan ianya berakhir dengan sebuah penceraian atau ketidakbahagiaan. Antara isu atau alasan yang sering digunakan untuk penceraian ialah “tiada persefahaman”, “tidak memahami” dan lain-lain yang kebanyakkannya adalah masalah komunikasi. Di sini saya ingin berkongsi tips-tips yang mungkin nampak mudah namun terasa sukar atau terlepas pandang untuk dipraktikkan serta wajib dilakukan di dalam rumahtangga setiap hari.

1. BERSALAM - SALAMAN

Kadang-kadang kita hanya bersalam-salaman pada waktu tertentu sahaja. Walhal sungguh rugi rasanya ia tidak dijadikan sebagai suatu perkara wajib yang sering dilakukan oleh pasangan suami isteri mahupun sesama keluarga. Saya pernah terbaca suatu hadis yang menyatakan bahawa setiap kali kita bersalaman, atau tangan suami isteri bersatu maka gugurlah dosa-dosa kecil dicelah-celah jari itu.

Bersalamlah dengan pasangan melebihi 3 kali setiap hari. Contoh ketika bangun dari tidur, keluar dari rumah (untuk ke pejabat), pulang dari pejabat, dan sebelum tidur. Apabila kita sering bersalaman, sekaligus memohon maaf dan memaafkan sekiranya melakukan perkara-perkara yang boleh membuatkan hati kecil terusik (diri atau pasangan) ia akan mengubati hati yang mungkin sedang sakit daripada terus merebak sekaligus menjadi barah dalam perkahwinan.

2. MENGUNGKAPKAN PERKATAAN MAGIK - TERIMA KASIH, MAAFKAN SAYA

Antara sedar atau tidak 2 perkataan tersebut merupakan perkataan yang mudah namun sangat sukar untuk diluahkan sama ada malu atau ego untuk dituturkan oleh suami, mahupun isteri tidak kurang juga antara ibubapa kepada anak-anak. Namun kajian mendapati perkataan tersebut mempunyai magik dimana dapat menyembuhkan penyakit hati, malah sekiranya tidak diungkapkan ia akan menjadi virus yang sangat bahaya di dalam hati.

Biasakanlah perkataan magik ini untuk membaja benih cinta agar ia menjadi tunas bunga-bunga kebahagiaan dalam sebuah keluarga. Antara contoh yang boleh digunakan adalah seperti ketika lepas makan, suami dan anak-anak menuturkan ungkapan terima kasih ibu/sayang, kerana memasakkan makanan yang sedap ini. Dengan ini segala penat lelah berperang dengan periuk kuali akan hilang sekaligus menyejukkan hati si ibu/isteri yang letih

Begitu juga ketika memohon pasangan untuk membuat air atau mengambil barang.Contohnya “sayang, tolong ambilkan abang air, terima kasih ya sayang”. Atau kepada anak “Abang, tolong ambilkan remote tv tu untuk ayah… terima kasih abang, pandai anak ayah”. Tidakkah perkataan itu akan membuatkan hati semakin dekat antara satu sama lain? Terasa dihargai walaupun bakti hanya sedikit. Begitu juga ketika timbulnya pergaduhan. Masing-masing ego untuk meluahkan kata maaf. Si isteri menunggu kata maaf daripada suami manakala si suami pula merasakan dia tidak bersalah. Lalu maaf itu dibiarkan di bawa angin lalu dan membuatkan isteri memendam perasaan tidak puas

Mana-mana agama pun menyatakan bahawa memohon maaf dan memberi maaf itu sungguh mulia. Sekiranya isteri merasakan suami bersalah, tapi demi hati sendiri luahkanlah contohnya “maafkan sayang kerana terkecil hati dengan abang”. Wahai sang suami, runtuhkanlah ego anda, mohonlah maaf kepada isteri untuk menyejukkan hati insan yang anda cintai

Begitu juga dengan anak-anak, walaupun kita adalah ibu bapa namun tidak semestinya ibubapa tidak akan melakukan kesalahan kepada anak. Seringlah menggunakan perkataan maaf itu agar anak-anak rasa dihargai dan bukan sering disalahkan. Contohnya “maafkan mama terkasar bahasa dengan kakak tadi. Mama bukan apa, mama sayangkan kakak, mama tak nak kakak pulang lewat, bahaya keluar rumah malam-malam. Mama risau sangat sebab tu mama marah kakak tadi. Maafkan mama ye sayang”. Apabila perkataan-perkataan magik ini sering digunakan, pergaduhan pun akan tidak berpanjangan. Hatipun tidak dibiarkan sakit dalam jangkamasa yang panjang.

3. CIUMAN

Cium adalah suatu perbuatan yang menunjukkan cinta dan sayang kita kepada seseorang. Apabila kita terlalu sayangkan anak yang kecil, kita akan ciumnya berkali-kali dan anak kecil itu akan terasa disayangi. Begitu juga dengan pasangan kita, sekiranya kita sering menghadiahkan ciuman itu kepadanya tidak kira dimana dia akan rasa sentiasa disayangi dan dicintai. Ciumlah pasangan anda melebihi 5 kali sehari. Contohnya ketika bangun tidur, buka mata, senyumlah pada pasangan dan ciumlah pasangan anda dengan rasa cinta yang menggebu. Ucaplah rasa terima kasih dan bersyukur kerana dia masih ada disisi anda sehingga kini. Tidak kira sama ada suami yang mulakan atau isteri yang mulakan kerana keduanya memerlukan penghargaan oleh pasangan. Begitu juga dengan anak-anak, apabila melihat anak-anak ciumlah mereka agar mereka tahu mereka tetap disayangi dan diperlukan oleh keluarganya.

Antara waktu lain yang disyorkan, sebelum keluar rumah, sebelum keluar kereta, apabila masuk kereta, masuk ke rumah, lepas makan bersama, lepas solat berjemaah, sebelum tidur. Hadiahkan pasangan atau anak-anak anda dengan ciuman ‘surprise’ seperti ketika menonton televisyen bersama, atau melakukan aktiviti riadah bersama. Ciuman itu sungguh bernilai tanpa mengeluarkan satu sen pun duit anda untuk membelinya.

4. PELUKAN

Pakar motivasi Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah berkata, fakta berdasarkan kajian oleh seorang pakar di Jerman mengenai hubungan antara sentuhan dan tahap kesihatan mendapati pelukkan oleh pasangan atau anak-anak anda melebihi 10 saat setiap pagi boleh memanjangkan usia mereka 5 tahun.

Pelukan juga merupakan agen pemujuk yang sangat baik. Anak-anak yang menangis akan berhenti menangis apabila dipujuk oleh ibu atau bapanya. Isteri yang terluka akan sembuh apabila berada dalam pelukan suaminya. Ibubapa akan merasa disayangi dengan pelukan yang diberikan oleh anak-anak.

Peluklah insan kesayangan anda melebihi 7 kali sehari, apabila bangun daripada tidur, sebelum ke tempat kerja, apabila pulang dari tempat kerja, selepas solat, sebelum tidur dan carilah masa-masa yang sesuai untuk memberikan pelukan hangat dan kejutan kepada mereka yang anda sayangi. Mereka yang dihadiahkan pelukan dan ciuman ini akan sentiasa rasa disayangi dan dihargai. Perasaan inilah yang akan membina rasa yakin dalam sebuah perkahwinan (suami isteri) serta rasa yakin anak-anak yang meningkat dewasa bahawa mereka diperlukan didalam keluarga itu dan sentiasa disayangi walaupun jarang bersua muka.

5. SOLAT BERJAMAAH

Amalkan solat berjemaah bersama. Sekurang-kurangnya solat jemaah di waktu Mahgrib. Ketika ini keluarga yang jarang berjumpa akan bersatu bersama, meluangkan masa untuk membicarakan apa yang terjadi pada hari tersebut, bersantai bersama atau meluahkan segala perasaan yang tidak puas hati antara satu sama lain sekaligus menamatkan perasaan negatif tersebut. Di waktu itu juga para ibu bapa boleh menggunakan masa sebaiknya untuk menyampaikan amanat atau menegur kesalahan anak-anak secara baik demi kebaikan mereka pada masa hadapan.

Contohnya dengan memberi tazkirah atau kisah-kisah nabi untuk menjadi pedoman mereka. Misalnya dengan bercerita  “hari ini ayah nak kongsi kisah Rasulullah saw di waktu remaja baginda. Bagaimana baginda menggunakan masa remaja dengan sebaiknya. Baginda berniaga untuk membantu bapa saudara baginda dan menjadi ahli perniagaan yang sangat jujur  dengan timbangan dan tidak tamak dalam mencari keuntungan. Sikap jujur baginda inilah yang membuatkan baginda dihormati dan disegani. Oleh sebab itulah ayah berharap anak-anak ayah menjadi orang yang sentiasa jujur dengan diri sendiri serta orang lain. Sekiranya kalian jujur maka orang keliling akan hormat dan kasihkan kalian. Jujurlah dengan diri sendiri, mungkin ayah dan mak atau orang lain tak tahu tapi ingatlah Allah itu maha melihat dan Dia tidak pernah tidur.”

Perkara-perkara ini pernah saya kongsikan dengan pasangan yang hampir bercerai dan saya memberikan mereka masa 3 bulan untuk melakukannya setiap hari dan Alhamdulillah perasaan sayang dan cinta yang disangkanya telah berkubur rupanya masih ada dan makin bercambah dari hari ke hari. Sehingga kini mereka telah menjadi antara pasangan yang romantis dan sentiasa ada masa untuk menyelesaikan sebarang percanggahan pendapat dengan baik dan semakin membaja cinta mereka.
 
Tips-tips ini mungkin anda memang sudah maklum dan tahu, namun kadangkala ia terlalu sukar untuk dimulai atau dilakukan. Baik kerana sifat malu mahupun ego untuk memulakan. Tidak kiralah suami atau isteri ambillah langkah pertama untuk melakukannya dan lakukannya setiap hari walaupun sedang marah atau berselisih pendapat. Insha Allah ia akan mengecilkan jurang yang baru terbina akibat rasa marah atau tidak puas hati itu.


Penilaian bacaan
 5
100.00%
 4
0.00%
 3
0.00%
 2
0.00%
 1
0.00%

Maklumat Pengarang