• Jenis Tulisan
  • increase normal decrease    
  • black red green blue    
  • green blue purple
  • en  English
Selamat Datang, AWAM    |    Daftar    |    Log Masuk     |     Panduan Pantas
Utama > Artikel > Pembangunan Remaja > Gejala Sosial Remaja Yang Membimbangkan

Gejala Sosial Remaja Yang Membimbangkan

 77 kongsi |  24958 lihat

Foto kredit: https://www.facebook.com/kafeTEEN/
 
Mutakhir ini banyak tajuk akhbar yang memaparkan berita mengenai gejala sosial dalam kalangan remaja yang begitu membimbangkan. Setiap hari pasti ada bahan berita yang menggambarkan betapa seriusnya pemasalahan sosial remaja hari ini. Soal selidik  ringkas yang dilakukan di salah sebuah pusat latihan remaja mendapati bahawa 30 peratus daripada pesertanya pernah melakukan hubungan seks seawal usia 14 tahun.

Masalah sosial remaja

Remaja adalah golongan yang paling mudah terdedah dengan gejala sosial sama ada penyalahgunaan bahan terlarang sehingga kepada hubungan seks bebas. Secara umumnya, gejala sosial merangkumi pelbagai bentuk tingkahlaku negatif anggota masyarakat yang tidak membawa sokongan dan keuntungan kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi negara.

Perkembangan remaja pada peringkat usia sebegini memiliki perasaan ingin tahu yang begitu tinggi. Mereka akan cuba melakukan sesuatu perkara yang mereka anggap baharu bagi mereka. Naluri ini adalah normal bagi remaja tetapi apa yang dibimbangkan adalah apabila naluri ini terlalu diikuti tanpa ada batas pegangan agama dan etika sosial.

Tingkahlaku negatif remaja yang sering kali mendapat tempat didada-dada akhbar adalah perhubungan seks sebelum berkahwin, pelacuran, pembuangan bayi, penyalahgunaan dadah, lumba haram, pengambilan arak, judi, pergaduhan, kongsi gelap, dan lain-lain lagi. 

Justeru, apa yang membimbangkan adalah remaja merupakan pewaris negara yang akan menentukan hala tuju negara pada masa depan. Sekiranya, gejala sosial remaja ini tidak dibendung dari peringkat awal lagi dikhuatiri akan melahirkan masyarakat yang bebas perlakuannya tanpa ada sebarang batas agama mahupun etika sosial yang menjadi pegangannya.

Punca terjadinya gejala sosial

Terdapat banyak punca yang menyebabkan berlakunya gejala sosial dalam kalangan remaja kini antaranya adalah pengaruh rakan sebaya dan media sosial. Tidak dinafikan, golongan remaja sangat rapat dengan rakan sebaya mereka berbanding dengan ibu bapa masa kini yang terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing. Ini menyebabkan golongan remaja ini mudah terpegaruh dengan ajakan mahupun cabaran daripada rakan sebaya mereka dan pengaruh tingkahlaku negatif lebih mudah terbentuk sekiranya mereka salah memilih rakan. 

Lantaran perkembangan dunia yang semakin pesat membangun ini menawarkan pelbagai kemudahan media sosial di hujung jari yang membolehkan golongan remaja mendapatkan pelbagai jenis bahan bacaan tanpa sebarang sekatan. Kemudahan ini seringkali disalahgunakan oleh golongan remaja dengan mencari bahan-bahan picisan berbentuk lucah dan lambakan filem barat yang terlalu bebas memberi kesan pegaruh budaya yang akan dicontohi oleh remaja tersebut.

Banyak lagi faktor yang mampu mempengaruhi jiwa golongan remaja untuk terlibat dengan masalah sosial. Oleh itu, masyarakat perlu lebih prihatin dan bekerjasama mendidik golongan ini agar mereka mempunyai pegangan dan jati diri yang kuat dalam menempuh cabaran kedewasaan.

Penyelesaian

Hakikatnya adalah sukar untuk membendung gejala sosial dalam kalangan remaja hari ini terutama apabila berdepan dengan zaman modenisasi dan globalisasi masa kini. Golongan remaja kini tidak sama dengan golongan remaja masa lalu. Hal ini membuktikan bahawa masa dan corak perubahan yang berlaku sepanjang proses perkembangan ini adalah penyelesaiannya. 

Pendekatan pendidikan terancang dan pencegahan perlu diperkemas selaras dengan perubahan dan peredaran masa yang berlaku. Teknik pendidikan dan pencegahan masa lalu tidak lagi boleh digunakan kepada golongan remaja masa kini. Oleh itu, perubahan perlu dilakukan dalam menangani isu ini. 

Peranan LPPKN

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah mengambil langkah pencegahan dan pendidikan dengan memperkenalkan modul pekerti kepada golongan sasar iaitu remaja bermula dari peringkat sekolah rendah, sekolah menengah, Institut Pengajian Tinggi (IPT), di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan peringkat komuniti setempat.

Modul yang dibangunkan sendiri oleh pihak LPPKN ini digunakan sebagai medium pendidikan kepada remaja khususnya mengenai pendidikan reproduktif manusia dan teknik-teknik pencegahan dan penangguhan. Di dalam modul ini, remaja akan didedahkan dengan bahaya tingkahlaku seksual yang berisiko tinggi. Ianya dapat membantu mereka membentuk persepsi positif terhadap kesihatan reproduktif diri.

Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia pada tahun 2004 mendapati bahawa 2.2 peratus remaja mengaku pernah mengadakan hubungan seks, 0.3 peratus pernah diperkosa atau diliwat dan 0.9 peratus pernah tertarik sesama jantina. Walaupun peratusan ini dianggap rendah namun apa yang mengejutkan adalah 60 peratus remaja mengaku mereka pernah berpegangan tangan dengan pasangan malah terdapat juga yang pernah bercumbuan, meraba dan diraba serta setuju dengan cara hidup homoseksual.

Hasil kajian ini menunjukkan bahawa modul yang dibangunkan oleh pihak LPPKN adalah releven dan wajar dijadikan sebagai elemen pendidikan kepada remaja kini. Masyarakat juga perlu bekerjasama dan bersikap terbuka dengan golongan remaja dalam mendidik mereka berkenaan isu pendidikan reproduktif dan bukannya bersikap primitif dalam membincangkan isu ini.

Kaunseling sebagai medium pendidikan dan pencegahan

Kaunseling bukanlah semata-mata untuk membantu klien menyelesaikan isunya tetapi juga boleh menjadi medium pendidikan dan pencegahan yang berkesan kepada remaja melalui kaunseling kelompok. Kaedah bimbingan dan pendidikan digunakan untuk mendekati remaja dengan lebih dekat supaya mereka boleh berkongsi apa jua kemusykilan di hati.

Pusat Remaja kafe@TEEN yang beroperasi di bawah LPPKN dilihat mampu membantu golongan sasar ini untuk berkongsi dan menerokai alam remaja mereka dengan lebih sihat dan beretika. Kaunselor yang bertugas di setiap kafe@TEEN akan membantu remaja dengan mengadakan aktiviti dan program yang sesuai dengan naluri dan keinginan remaja kini berkonsepkan pendidikan dan pencegahan. 

Remaja yang berdaftar dengan Kafe@teen ini akan dilatih dan didedahkan dengan pelbagai ilmu supaya mereka boleh membantu rakan-rakan yang lain yang tidak berkesempatan untuk turut serta. Mereka akan menjadi kumpulan sokongan yang terbaik kepada rakan sebaya mereka dalam menangani isu-isu alam remaja. Jelaslah bahawa kaunseling mampu menjadi medium pendidikan dan pencegahan terbaik sekiranya dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak.

Selami dan jiwai mereka

Sekiranya kita ingin mendekati golongan ini kita perlu menyelami dan menjiwai perasaan mereka dengan lebih dekat. Setiap daripada kita pernah mengalami dan melalui zaman ini. Walaupun zaman yang dilalui mungkin berbeza dengan zaman yang ada kini namun kita perlu sedar bahawa kita juga melalui zaman remaja ini sama ada dengan jayanya atau sebaliknya. 

Oleh itu, sebagai masyarakat yang prihatin kita perlulah bersikap ambil peduli akan perkembangan remaja walaupun mereka bukanlah anak atau pun sesiapa bagi kita. Masyarakat juga perlu berani menegur dan mendidik golongan remaja ini ke arah yang lebih sihat dan beretika. 


Penilaian bacaan
 5
32.00%
 4
12.00%
 3
20.00%
 2
16.00%
 1
20.00%