• Jenis Tulisan
  • increase normal decrease    
  • black red green blue    
  • green blue purple
  • en  English
Selamat Datang, AWAM    |    Daftar    |    Log Masuk     |     Panduan Pantas
Utama > Artikel > Pra Perkahwinan > Cintakah Itu

Cintakah Itu

 0 kongsi |  1856 lihat

Foto kredit: http://keluargabahagia.my
 
"Puan, setiap hari saya teringatkan xxx, saya rasa saya jatuh cinta pada dia tapi saya malu untuk menyatakan perasaan saya pada dia…”, teringat saya satu isu yang dilontarkan oleh seorang klien perempuan berusia awal 20-an yang hadir ke sesi kaunseling suatu ketika dahulu. Namun di sini, saya bukan ingin membicarakan tentang isu yang klien ini hadapi, tetapi lebih kepada isu cinta. Jika diperhatikan terdapat pelbagai definisi, perumpamaan, pandangan dan persepsi tentang cinta. Dari istilah “cinta itu buta” sehinggalah kepada lagu nyanyian kumpulan Allycats “cinta itu..boleh diumpama seperti makan sambal belacan…walau pedas hingga mengalir air mata..masih mahu dimakan juga…”,. Kehebatan kuasa cinta ini juga  banyak ditonjolkan dalam cerita Bollywood, dari seorang yang baik, bertukar 360 darjah kepada sebaliknya atau dari seorang yang “kacang hantu” berubah secara total menjadi sebaik-baik manusia, diperisakan lagi dengan halangan keluarga sehingga berjurai-jurai air mata ibu-ibu yang menonton, dan dipaku pula dengan nyanyian merdu hero dan heroin.
 
Banyak sesi kaunseling yang dijalankan yang melibatkan isu cinta seperti  putus cinta, cara bercinta, halangan cinta oleh ibu bapa, cinta pudar, tiada lagi cinta, cinta beralih arah, tidak dicintai, cinta kontroversi (mencintai isteri/suami orang) dan pelbagai lagi nama di bawah label cinta. Perkataan cinta mudah disebut namun membawa pengertian besar kerana melibatkan perasaan, pemikiran dan tingkah laku. Cinta merupakan fitrah manusia yang dianugerahkan oleh Allah untuk kita memberi makna pada kehidupan. Cinta bukan sahaja melibatkan sesama manusia, malah turut merangkumi konteks yang lebih besar seperti cinta Tuhan, cinta agama, cinta ibu bapa, cinta Keluarga cinta harta benda, cinta Negara, cinta bangsa dan 1001 cinta lagi.
 
Saya percaya, ramai dalam kalangan kita pernah bercinta, sama ada semasa zaman cinta monyet atau pun cinta yang dimeterai dengan perkahwinan. Mungkin terdapat perbezaan di antara cinta monyet, cinta sebelum berkahwin dan cinta selepas berkahwin. Untuk menjadikan sebiji kek, ada bahan tertentu, jika gabungan bahan kurang atau lebih mungkin ia tidak layak dipanggil kek, mungkin hanya setakat cucur atau roti begitu juga cinta, apakah bahan untuk cinta?. Jika terkurang atau terlebih bahan tersebut adakah masih dinamakan cinta atau ada istilah lain yang lebih tepat?

Dalam memilih pasangan hidup, banyak faktor yang perlu dipertimbangkan. Pertama sekali wajib berlainan jantina, seterusnya kriteria pegangan agama, penampilan, kecantikan, pekerjaan, status, tingkahlaku, kelulusan akademik, keupayaan menyesuaikan diri dan sebagainya masuk dalam carta. Berdasarkan puluhan, ratusan atau ribuan kriteria, kita mungkin menyempitkannya kepada beberapa kriteria utama. Namun di mana ingin diletakkan faktor cinta? Adakah disaat kita tertarik kepada seseorang dinamakan cinta? Atau jantung berdegup kencang apabila berjumpa seseorang dinamakan cinta? Atau kita sering teringatkan seseorang dinamakan cinta? Jika elemen ini yang dikatakan cinta, adakah hilang perasaan tersebut apabila kita tidak lagi tertarik pada suami/isteri kita, jantung tidak lagi berdegup kencang apabila berhadapan dengan pasangan atau kita seolah-olah hilang ingatan terhadap pasangan apabila berpeluang kerja luar, melancong bersama rakan dan sebagainya tanpa ditemani pasangan?
 
Terdapat pelbagai pandangan mengenai elemen yang perlu ada dalam cinta. Adakalanya apa yang kita rasakan sebagai cinta itu bukan sebenarnya cinta tetapi merupakan sebahagian elemen yang ada dalam cinta itu sendiri. Sebagai contoh komitmen tanpa perasaan ghairah pada suami/ isteri mungkin boleh ditafsirkan sebagai tanggungjawab, kerapatan dan komitmen pasangan mungkin dianggap sebagai “loving couple” oleh orang luar, namun elemen ini masih kurang ummph jika tiada perasaan ghairah di antara kedua pasangan suami isteri tersebut. Mungkin pada mereka, mereka bersahabat baik tetapi disalah tafsir sebagai cinta.
 
Situasi ini kadang kala berlaku pada pasangan yang dilihat sangat romantik, tiada konflik besar,  ideal dan sebagainya tiba-tiba memfailkan perceraian. Mungkin juga daya tarikan seksual yang tinggi menyebabkan seseorang itu menjalinkan hubungan, namun keadaan ini hanyalah sebagai cinta nafsu semata-mata. Faktor ingin mendapatkan kesenangan, status dan penghormatan, kebanggaan atau perasaan ingin memiliki juga adakalanya ditafsirkan sebagai cinta. Justeru, dalam perkahwinan, elemen apa yang perlu ada untuk memastikan penerusan api cinta?.
 
Ini kerana terdapat keperluan untuk sentiasa berusaha menyuburkan perasaan cinta dalam perkahwinan. Cinta juga mempunyai skala tersendiri sama ada tiada cinta, sedikit cinta, tidak pasti cinta, sederhana cinta atau amat cinta. Tanpa cinta ibarat manusia memerlukan bantuan mesin oksigen untuk terus hidup. Begitu juga bagi mereka yang berada pada skala sedikit, tidak pasti dan sederhana, usaha yang berterusan perlu dilakukan bagi mencapai skala amat cinta. Namun, kesediaan psikologi juga perlu untuk berhadapan dengan kehilangan cinta kerana keupayaan kita adalah terbatas untuk meneka perkara akan datang.
 
Seringkali apabila berlaku konflik dalam perkahwinan, masing-masing cenderung untuk tuduh menuduh, salah menyalahkan sedangkan Tuhan telah menjelaskan bahawa kita akan bertanggungjawab atas apa yang kita lakukan. Kita juga cenderung memberikan alasan dan membela diri ke atas perkara yang kita tidak suka sedangkan Tuhan menjelaskan bahawa apabila menipu, kita hanya menipu diri kita sendiri. Berbalik kepada isu cinta khususnya dalam perkahwinan, setiap pasangan suami isteri seharusnya mempunyai matlamat yang jelas dengan hala tuju perkahwinan mereka sejak dari peringkat pra perkahwinan lagi.
 
Elemen yang perlu dipupuk dalam keluarga yang bakal dibina juga perlu dibincangkan dari awal supaya impak negatif “kejutan budaya” dapat dikurangkan. Hanya pasangan itu sahaja yang dapat menentukan resepi cinta mereka namun perlu mempertimbangkan “bahan”  asas seperti komitmen, keintiman, keghairahan, ketelusan, material dan penambahan resepi lain yang menyedapkan lagi kek cinta mereka. Perlu diingatkan bahawa kek cinta bukan hanya sekadar cantik dipandang atau kenyang dimakan, namun perlu ada kesedapannya. Semoga cinta kita semua kekal hingga jannah.Selamat bercinta para suami dan para isteri.


Penilaian bacaan
 5
100.00%
 4
0.00%
 3
0.00%
 2
0.00%
 1
0.00%

Maklumat Pengarang