• Jenis Tulisan
  • increase normal decrease    
  • black red green blue    
  • green blue purple
  • en  English
Selamat Datang, AWAM    |    Daftar    |    Log Masuk     |     Panduan Pantas
Utama > Artikel > Pengurusan Kewangan > Amalan Pengurusan Kewangan Peribadi Yang Berhemah

Amalan Pengurusan Kewangan Peribadi Yang Berhemah

 9 kongsi |  6233 lihat

Foto kredit: https://www.freepik.com

Kita sering kali terdengar tentang kisah wang dan masalah-masalah yang dihadapi disebabkan oleh wang. Namun begitu pernah kah kita terfikir apakah punca kepada semua permasalahan yang timbul itu. Jika kita renungkan kembali, kitalah yang menentukan sama ada wang dapat memberi keselesaan atau pun kesengsaraan kepada diri kita sendiri.
 
Kita perlu tahu cara atau amalan yang betul dalam menguruskan kewangan peribadi supaya masalah ini tidak akan timbul. Konsep pengurusan kewangan peribadi itu sendiri sebenarnya amat ringkas; perbelanjaan tidak sepatutnya melebihi pendapatan dan simpanan perlu ditetapkan sebelum membuat perbelanjaan. Namun sejauh mana konsep ringkas ini dapat diikuti, itulah yang menjadi persoalan sehingga kini.

Tidak dinafikan wang merupakan medium yang sangat penting dalam kehidupan seharian kita. Namun kita sebagai manusia sering kali melakukan kesilapan dalam menguruskan wang sehinggakan ia bukan sahaja menghantui golongan berpendapatan rendah, malahan yang berpendapatan agak lumayan juga tidak dapat lari dari masalah pengurusan kewangan.
 
Berikut merupakan antara beberapa kesilapan yang kerap dilakukan dalam menguruskan wang
 
Sentiasa memberi alasan tidak ada masa sehingga gagal untuk merancang kewangan. Kerap berbelanja dengan menggunakan kad kredit tetapi bayaran bulanan pula hanya pada tahap minimum. Asyik memikirkan mengenai wang sehingga mengabaikan tanggungjawab yang lain. Berbelanja mengikut nafsu sehingga melebihi kemampuan. Sering kali terlibat dalam pelaburan tetapi terlalu cetek ilmu yang ada mengenai produk yang dipilih. Tidak mempunyai simpanan khas untuk digunakan ketika kecemasan. Sentiasa menangguhkan untuk membuat simpanan hari tua dan terlalu mengharapkan simpanan KWSP ataupun pencen tanpa merancang dengan teliti keperluan sebenar sewaktu bersara kelak.
 
Namun adakah kesilapan yang sering dilakukan ini tiada penyelesaiannya? Jawapannya adalah tidak. Dalam perbincangan ini, penekanan dari aspek pengurusan kewangan yang bijak dan juga cara melabur dengan bijak akan ditekankan dan diberi penerangan satu persatu. Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian yang dibuat, terdapat beberapa tip atau kaedah yang boleh dijadikan panduan dalam menguruskan kewangan peribadi dan kaedah yang sepatutnya diamalkan dalam menguruskan pelaburan anda.

Tips menguruskan kewangan dengan bijak
 
  • Kita sering kali akur tentang kepentingan menguruskan kewangan dengan bijak kerana setiap dari kita mempunyai sumber kewangan yang terhad. Namun kita haruslah mendisiplinkan diri bagi memastikan setiap perancangan yang dibuat dapat dilaksanakan.
  • Berikut merupakan beberapa tip yang boleh dijadikan panduan dalam merancang kewangan.
  • Pastikan setiap kali menerima gaji bahagian wang yang hendak dijadikan simpanan disimpan dalam akaun khas.
  • Cuba elakkan dari berbelanja menggunakan kad kredit, jika masih tidak dapat mengawal diri, cuba sedaya upaya melangsaikan hutang-hutang dengan cepat dan batalkan kad anda serta merta.
  • Rancang kewangan anda dengan teliti. Wujudkan pelan perbelanjaan peribadi khas yang meliputi perbelanjaan harian, mingguan, bulanan sehinggalah perbelanjaan tahunan.
  • Elakkan diri dari berhutang kecuali untuk membeli benda seperti kereta dan rumah. Jika tidak mampu, disarankan supaya anda menangguhkan dulu hasrat sehingga anda benar-benar mampu.
  • Amalkan sikap menyenaraikan barangan yang hendak dibeli sebelum melangkah pergi ke pusat membeli belah bagi mengelakkan anda dari membelanjakan wang untuk barangan yang tidak penting.
  • Jangan sesekali berbelanja melebihi pendapatan anda. Perkara ini hanya akan membebankan anda di kemudian hari.
  • Pastikan anda mempunyai tabungan khas bagi digunakan ketika kecemasan.
  • Adalah penting bagi anda memiliki insurans yang bersesuaian dengan anda atau keluarga. Pastikan peruntukan yang cukup disediakan bagi tujuan ini kerana apa yang pasti, malang tidak berbau.

Tips untuk membuat pelaburan bijak

Jika mengambil kira faktor time value of money dan kadar inflasi, kita akan tertanya-tanya, mengapa wang simpanan kita tidak mencukupi untuk sesuatu tujuan sedangkan perancangan awal telah dibuat. Pada dasarnya wang kita masih sama jumlahnya dan mengikut perancangan cuma nilainya sahaja yang berkurangan.
 
Simpanan kita di bank tidak dapat mengatasi masalah ini kerana kebiasaannya, kadar faedah tahunan yang ditawarkan oleh bank adalah lebih rendah dari kadar inflasi tahunan. Hanya dengan membuat pelaburan, potensi untuk mengatasi masalah ini dapat dicapai. Namun begitu perlu diingat, risiko pelaburan sangat tinggi, tanpa pengetahuan yang jelas ia akan lebih merugikan anda.
 
Berikut merupakan beberapa tips yang dapat digunakan sebelum membuat pelaburan.
  • Kenali dengan jelas jenis pelaburan yang terdapat di pasaran. Sebagai contoh, pelaburan dalam pasaran modal seperti saham, bon, niaga hadapan, unit amanah ataupun dalam pasaran bukan modal seperti insurans, hartanah dan sebagainya.
  • Ketahui matlamat sebenar pelaburan yang bakal anda lakukan. Adakah ia bersifat jangka pendek atau pun sebaliknya.
  • Padankan matlamat pelaburan dengan profil pelaburan anda iaitu sasaran keuntungan yang anda inginkan dan juga risiko yang bakal anda hadapi. Pada dasarnya, pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan, risikonya juga tinggi, sebagai contoh melabur dalam bursa saham. Begitu juga yang sebaliknya.
  • Setelah mengetahui kehendak diri, pastikan anda memilih produk pelaburan yang bertepatan dengan kehendak dan kemampuan anda. Sebagai contoh saham dan unit amanah adalah bersesuaian dengan pelabur runcit memandangkan modal awal yang diperlukan kecil berbanding niaga hadapan dan bon yang memerlukan modal awal yang besar.
  • Pastikan anda telah faham secukupnya tentang pelaburan dan membuat kajian terperinci tentang produk yang bakal anda pilih sebelum melabur. Jangan sesekali melabur berlandaskan naluri tanpa merujuk kepada apa-apa maklumat terlebih dahulu. Sebagai contoh jika anda ingin melabur dalam unit amanah, pastikan anda tahu jenis unit amanah dan syarikat yang menguruskan unit amanah itu. Rujuk prospektus pelaburan dan bandingkan antara beberapa syarikat yang menguruskan amanah sebelum memilih yang terbaik untuk melabur.
  • Cuba untuk fokus kepada matlamat pelaburan jangka panjang kerana ia lebih berkesan berbanding pelaburan jangka pendek yang lebih terpengaruh dengan apungan pasaran yang tidak menentu. Ini akan menjejaskan potensi pelaburan anda.
  • Amalkan konsep melabur secara pemurataan kos ringgit (dollar cost averaging). Konsep pelaburan ini membolehkan anda mendapat manfaat dari ketidaktentuan pasaran memandangkan pelaburan yang dibuat adalah bersifat konsisten, bukannya melabur sekali untuk satu jumlah tertentu pada satu masa sahaja.
  • Jika anda mempunyai cukup masa, wujudkan satu portfolio pelaburan peribadi. Ini adalah bertujuan mengurangkan risiko seandainya sesuatu produk yang anda pilih mengalami kegagalan. Portfolio bermaksud melabur dalam lebih daripada satu produk pelaburan.

Akhir sekali fokuslah terhadap matlamat pelaburan anda dan elakkan daripada dipengaruhi khabar angin. Elakkan juga diri anda dari tertipu oleh produk pelaburan palsu seperti skim cepat kaya dan sebagainya.

Secara dasarnya, sekiranya kita hendak berbincang mengenai wang, maka perkara ini mungkin tiada penamatnya. Pada pandangan saya, perkara yang paling utama yang harus ditekankan dalam diri setiap individu ialah disiplin. Hakikat tentang kepentingan disiplin dapat dilihat dengan jelas, contohnya melalui penggunaan kad kredit. Statistik menunjukkan betapa ramai rakyat Malaysia malahan penduduk di serata dunia muflis disebabkan kad kredit, walhal majoriti pengguna kad kredit terdiri daripada golongan yang berpelajaran dan berkemampuan.
 
Mustahil golongan ini tidak tahu walau sedikit pun cara menguruskan kewangan mereka, namun perkara yang mereka sendiri tidak ingini seperti muflis berlaku ke atas mereka. Hakikatnya, tahap disiplin yang rendah dan goyah dalam amalan pengurusan kewangan peribadi yang menjadi punca utama kepada fenomena ini. Kesimpulannya, walaupun kita mempunyai berbagai-bagai cadangan, idea atau kaedah mengenai pengurusan kewangan peribadi yang berhemah, tanpa digandingkan dengan sikap dan disiplin yang baik, nescaya ianya tidak akan membuahkan hasil seperti yang diharapkan.


Penilaian bacaan
 5
50.00%
 4
0.00%
 3
50.00%
 2
0.00%
 1
0.00%